Harga beras import India lebih murah hasil rundingan, kata PM

Harga beras import India lebih murah hasil rundingan, kata PM

Rundingan bersama kerajaan India diadakan ketika lawatan Anwar Ibrahim ke negara itu pada Ogos lepas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melihat ikan segar yang dijual pada Program Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, hari ini. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Harga beras import berjaya diturunkan sedikit hasil rundingan bersama kerajaan India semasa lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu Ogos lepas.

Anwar berkata, kerajaan persekutuan komited meringankan beban rakyat, khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang rendah.

“(India) bersetuju menjual beras dengan harga lebih murah. Kita harap langkah ini dapat meringankan beban masyarakat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Kampung Masjid Timah.

Anwar berkata, penganjuran program jualan murah mampu menjadi persaingan yang sihat, sekali gus memberi tekanan pada harga pasaran supaya dapat diturunkan.

Perdana menteri berkata, Jualan Termurah Madani yang berlangsung sehari itu menawarkan 1,000 ekor ayam dan 200 kampit beras secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, katanya, pengunjung juga boleh membeli ikan segar yang harganya dijamin lebih murah daripada pasaran kerana diambil terus daripada kapal nelayan.

“Ikan segar boleh didapati dengan harga murah jika diperoleh secara langsung daripada nelayan tanpa orang tengah,” kata Anwar.

“Sebab itu kita galakkan para nelayan untuk guna aplikasi berkaitan supaya orang ramai boleh beli secara langsung daripada mereka sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.