
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata menerima semula bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein adalah petanda baik untuk parti.
Khairy dipecat manakala Hishammuddin digantung selama enam tahun pada 2023 kerana melanggar disiplin parti.
“Kepimpinan Zahid adalah selamat jika dua bekas pemimpin ini kembali kerana timbalan perdana menteri mempunyai pengaruh kuat dalam Majlis Tertinggi dan sayap masing-masing,” kata Azmi kepada FMT, merujuk kepada kumpulan pemimpin semasa yang sehaluan dengan Zahid.
Beliau berkata sebarang perubahan dalam kepimpinan hanya akan berlaku sekiranya Zahid berundur secara sukarela.
Azmi berkata bekas pemimpin parti yang kembali boleh mengukuhkan Umno kerana mereka masih mempunyai pengikut yang kuat.
“Menyambut mereka kembali menunjukkan bahawa kedua-dua pihak telah berdamai.
“Ia juga memberi gambaran bahawa semuanya baik-baik saja dalam Umno dan parti itu sedang berusaha bangkit lebih gagah, tanpa pertelingkahan yang kita saksikan dalam Bersatu,” katanya.
Ahad lalu, Zahid berkata Umno terbuka menerima semula ahli Umno dipecat atau digantung seperti Khairy dan Hishammuddin jika mereka membuktikan komitmen kepada parti.
Beliau berkata demikian selepas bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman diterima semula keahlian selepas berdepan penggantungan enam tahun.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju bahawa penerimaan semula Khairy dan Hishammuddin tidak akan menjadi ancaman kepada kepimpinan Zahid memandangkan sokongan terhadap dua bekas pemimpin itu telah ‘melemah dengan ketara’.
Bagaimanapun, beliau berpendapat Umno harus mengutamakan penggubalan reformasi struktur bagi meningkatkan kepimpinan akar umbi serta mengukuhkan ideologi parti.
“Memberi tumpuan terhadap penerimaan kembali individu tertentu hanya akan mengalihkan perhatian daripada usaha reformasi yang amat diperlukan, yang perlu untuk memastikan Umno relevan Umno dalam landskap politik semasa,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Chin Huat melahirkan keraguan bahawa kedua-dua individu itu akan kembali ke parti walaupun Zahid bersedia menerima mereka.
“Penerimaan mereka tidak akan berlaku semasa Zahid kekal sebagai presiden parti kerana mereka tidak akan membuat sebarang pengakuan bahawa pemecatan atau penggantungan mereka adalah wajar.
“Zahid juga tidak akan menerima penyertaan mereka semula tanpa pengakuan itu,” katanya.
Wong berkata orang seperti Khairy dan yang lain akan mempunyai masa depan yang lebih baik dalam Umno pasca-Zahid atau sekurang-kurangnya selepas PRU16, sambil menambah tiada keperluan untuk ‘tergesa-gesa’ kembali kepada parti.