
Pada Disember 2023, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dipetik berkata kerajaan menyasarkan mendaftarkan 10 juta pengguna bagi suku pertama tahun ini.
Namun statistik MyDigital ID Sdn Bhd setakat Oktober lalu menunjukkan pendaftarannya hanya lebih sejuta orang.
Pakar siber Muhidin Arifin berkata keadaan itu berlaku mungkin disebabkan kebimbangan masyarakat terhadap isu keselamatan siber kerana beranggapan maklumat peribadi seperti alamat dan nombor MyKad boleh dicuri atau disalah guna penggodam.
Menurutnya, wujud juga kebimbangan terhadap sistem itu jika ia dihasilkan ‘orang luar’ selain peningkatan jumlah penipuan dalam talian dan pelanggaran data.
“Ini menjadikan orang ramai lebih berhati-hati berkongsi maklumat dalam talian.
“Jadi kerajaan kena labur lagi dalam aspek keselematan dan pembangunan kepakaran anak tempatan untuk tingkat keyakinan masyarakat,” kata ketua pegawai operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) itu kepada FMT.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan isu MyDigital ID kerana berang dengan kelewatan pelaksanaan projek inisiatif bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian, selama setahun.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, inisiatif diperkenalkan Disember tahun lalu itu menjadi platform selamat serta memudahkan pengesahan identiti bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.
Sebelum ini, Anwar pernah menepis kebimbangan orang ramai pelaksanaan MyDigital ID akan menyebabkan rekod peribadi serta perbankan akan terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu.
Pakar sekuriti siber Shafiza Mohd Shariff dari Universiti Kuala Lumpur pula berpandangan kerajaan perlu meningkatkan kempen kerana masih ramai belum menyedari kewujudan inisiatif pendigitalan kerajaan terbabit.
“Kena yakinkan juga penggunaannya selamat dan bebas dari gangguan luar.
“Penggunaan juga belum wajib dan tak menyeluruh di semua agensi, jadi tak nampak kepentingan yang berbeza jika dikuat kuasa…pasti ramai berdaftar,” katanya.