KJ tak mahu jadi ‘pak turut’ jika kembali ke Umno

KJ tak mahu jadi ‘pak turut’ jika kembali ke Umno

Khairy Jamaluddin akan patuh pada disiplin parti namun tidak mahu kembali hanya untuk jadi 'pak turut'.

Khairy Jamaluddin akui beliau merasakan dirinya masih ahli Umno selepas pemecatannya.
PETALING JAYA:
Bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin menyatakan hatinya sentiasa bersama Umno namun menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.

Khairy berkata, kepulangan ke Umno sesuatu yang boleh dibincangkan sekiranya parti itu boleh menerima beliau dan idealismenya untuk ‘Umno yang lebih baik’ seadanya.

“Jika saya diterima kembali untuk jadi pak turut saja, saya fikir tidak perlu lah,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

“Kalau anda boleh terima saya seadanya, dan saya juga terima disiplin parti, saya rasa ada sesuatu yang boleh kita bincangkan nanti.”

Khairy mengulas respons positif Presiden Umno Zahid Hamidi mengenai kesediaan Umno menerima beliau kembali, menyusuli langkah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Umno mengumumkan pemecatan keahlian Khairy pada Januari 2023 atas alasan pelanggaran disiplin parti kerana kesalahan semasa PRU15.

Khairy hari ini membuat pengakuan bahawa dia menolak semua tawaran untuk sertai parti lain dan peluang bertanding PRN, kerana merasakan dirinya masih ahli Umno.

“Saya tak keluar daripada Umno, saya kena pecat daripada Umno dan sampai hari ini saya tak berapa tahu kenapa saya dipecat daripada Umno,” katanya.

Khairy menyambut kenyataan Zahid dengan baik dan serius, namun beliau mahu melihat kembalinya beliau ke pangkuan Umno datang dengan iltizam daripada semua pihak termasuk dirinya untuk memulihkan imej Umno.

“Ya, sudah tentu saya akan patuh sekiranya saya kembali kepada disiplin parti tetapi idealisme saya untuk melihat Umno yang berubah, Umno yang lebih baik, Umno yang lebih relevan, Umno yang lebih segar, Umno yang lebih berintegriti — saya tidak boleh korban idealisme itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.