
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail, berkata, bagi kes pertama, seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 18 tahun ditahan sebaik tiba dari sebuah negara di Eropah.
“Hasil imbasan melalui mesin pengimbas bagasi, kami menemukan beberapa paket plastik mengandungi ketamin.
“Orang Yang Disyaki (OYDS) itu menyembunyikan ketamin terbabit dalam beberapa kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran.
“Berat kasar dadah itu ialah 16.91kg bernilai RM845,670,” katanya pada kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.
Norlela berkata, bagi kes kedua, lelaki warga tempatan berusia 22 tahun ditahan selepas didapati membawa beberapa paket plastik mengandungi ketamin, juga di dalam bagasi miliknya, sebaik tiba dari sebuah negara di Eropah.
Menurutnya, ketamin itu seberat 14.18kg bernilai RM709,030.
Katanya, selain disembunyikan dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran, kedua-duanya turut mendaftar masuk bagasi itu menggunakan kaedah pemeriksaan terus bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kedua-dua suspek yang berasal dari Sarawak dipercayai anggota sindiket yang sama. Berdasarkan rekod, mereka berlepas dari KLIA bersama-sama namun pulang pada hari berlainan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.