2 beradik dalang sindiket kutip derma ditahan

2 beradik dalang sindiket kutip derma ditahan

Polis Johor turut menyelamatkan enam mangsa sindiket itu di sebuah kediaman di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram.

Sindiket sedekah warga asing
Sindiket kegiatan mengutip derma sekolah tahfiz anak yatim tidak wujud ditumpaskan polis selepas dua beradik warga asing ditahan di Johor. (Gambar PDRM)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan dua lelaki warga asing dipercayai dalang kegiatan mengutip derma secara haram serta menyelamatkan enam mangsa sindiket itu di sebuah kediaman di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram di sini pada Selasa.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata dua beradik berusia 47 dan 54 tahun yang berperanan sebagai pemandu dan perancang kegiatan itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Seri Alam dalam serbuan pada 11 pagi.

Beliau berkata enam mangsa terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 70 tahun itu dijadikan sebagai pengutip derma oleh sindiket tersebut.

Menurutnya modus operandi sindiket adalah dengan memperdayakan orang ramai bahawa kutipan derma digunakan untuk membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkhla, Thailand.

“Kediaman tersebut dipercayai dijadikan sebagai tempat tinggal pengutip derma dan siasatan awal mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak pertengahan 2019.

“Sindiket ini menjadikan kawasan sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kumar berkata pihaknya turut merampas dua kereta, enam tabung tertera tulisan sumbangan ikhlas pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim, sembilan telefon bimbit serta cop atas nama madrasah.

“Selain itu, polis juga merampas fail mengandungi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan ikhlas menggunakan kepala surat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Johor, empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, 10 resit penghantaran wang serta wang tunai RM9,158,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua dalang yang didapati positif dadah jenis ketamin itu direman selama seminggu bermula semalam manakala enam mangsa tersebut ditempatkan di rumah perlindungan sementara selama 21 hari mengikut Seksyen 44 (2) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007, Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3 (2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Di Jalan 1947 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.