
Bercakap kepada FMT, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak yang penggantungan keahliannya ditarik balik pada 25 Nov lalu berkata tidak rugi berbuat demikian dan mengemukakan rayuan berkali-kali sepertinya sehingga diterima oleh Presiden Umno Zahid Hamidi.
“Tidak rugi pun dan tiada orang caci maki kata dulu bukan main handal sekarang minta maaf.
“Minta maaf itu sifat orang berani, begitu juga memaafkan. Orang terus bermusuhan ini orang penakut dan pengecut,” kata pemimpin lantang itu yang bagaimanapun tidak menyebut nama bekas pemimpin Umno dimaksudkannya.
Selepas PRU15, beberapa pemimpin Umno dipecat antaranya bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin manakala bekas naib presiden Hishammuddin Hussein serta bekas naib ketua penerangan Shahril Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.
Kecuali Hishammuddin yang terikat dengan akta antilompat parti, Khairy dan Shahril belum menyertai mana-mana parti.
Tajuddin digantung Umno selama enam tahun bermula September 2022 kerana lantang mengkritik kepimpinan Zahid sekali gus menyebabkannya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Salak.
Semalam, FMT melaporkan Tajuddin mendakwa PAS cuba ‘menyuntingnya’ menjadi calon Perikatan Nasional di kawasan terbabit namun ditolak kerana masih sayangkan Umno.
Mengulas lanjut, Tajuddin yang pernah menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata dirinya tidak mahu ‘memandai-mandai’ menjadi orang tengah dalam perbincangan untuk membawa kembali bekas pemimpin parti.
“Saya tengah fikirkan sama ada layak atau tidak untuk pujuk, nanti ada kata saya memandai pula.
“Tetapi tengoklah dalam masa terdekat dan ada kesempatan bolehlah (bincang),” katanya yakin ramai bekas pemimpin Umno dipecat dan digantung masih sayangkan parti.
“Nasihat saya kepada mereka digantung dan dipecat, kita lupakanlah apa yang berlaku demi kepentingan parti.