
Penundaan ini menyusuli permintaan oleh peguam kanan persekutuan yang memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa pihak kerajaan perlukan masa untuk menentusahkan keesahan suatu dokumen yang dikemukakan untuk kes itu.
Menurut Shamsul Bolhassan, Jabatan Peguam Negara hanya menerima kertas kausa daripada peguam cara mewakili Najib Razak semalam.
“Kita perlukan masa untuk menentusahkan ekshibit. Dokumen itu tidak ditandatangani atau dimeterai,” katanya kepada sidang hakim yang dipengerusikan Azizah Nawawi.
Turut bersidang untuk mendengar permohonan ini ialah Azhahari Kamal Ramli dan Firuz Jaffril.
Azizah berkata suatu pengurusan kes akan diadakan untuk menentukan tarikh pendengaran baharu bagi permohonan itu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Julai menolak permohonan Najib untuk kebenaran, dan Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan itu petang tadi.
Bagaimanapun, pada Selasa, Najib memfailkan permohonan untuk kemuka keterangan baharu, bagi menyokong usaha beliau memohon semakan ke atas apa yang dikatakan ‘perintah tambahan’ oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam afidavit menyokong permohonan dua hari lepas itu, Shafee berkata Najib tidak berniat untuk menangguhkan pendengaran rayuan hari ini, namun keterangan baharu itu baru diperolehi oleh anak Najib, Nizar.
Shafee juga meminta mahkamah mengeluarkan suatu perintah bagi memelihara kerahsiaan keterangan tambahan itu kerana ia sensitif.
Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International telah dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Bekas perdana menteri itu kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.
Dalam permohonan kebenarannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 1 April, Najib mendakwa Agong terdahulu mengeluarkan dekri tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara yang dikurangkan di bawah tahanan rumah, pada mesyuarat FTPB, 29 Jan lalu.
Najib mendakwa FTPB tidak mengumumkan syarat dekri tambahan itu dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak mematuhinya.
Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan dekri tambahan itu, jika ada, dengan meletakkannya di bawah tahanan rumah.