SPRM siasat Ramasamy berkait perolehan pedati emas, kata sumber

SPRM siasat Ramasamy berkait perolehan pedati emas, kata sumber

Sumber SPRM berkata, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang ketika diterajui P Ramasamy didakwa membayar lebih untuk membeli pedati itu.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa lawan politiknya mendalangi siasatan untuk mencemarkan nama baiknya.
GEORGE TOWN:
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy disiasat susulan aduan mengenai dakwaan amalan rasuah dalam perolehan sebuah pedati emas oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) untuk Thaipusam kira-kira lima tahun lalu, kata sumber.

Ramasamy yang juga pengerusi PHEB dari 2010 hingga 2023, dilarang meninggalkan Malaysia oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam, selepas dimaklumkan beliau disenarai hitam atas “arahan” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM memberitahu FMT, agensi itu menerima aduan beberapa bulan lalu mendakwa pedati berkenaan bukan emas tulen seperti didakwa dan aduan itu mengenai dakwaan penyelewengan membabitkan PHEB, yang memiliki pedati terbabit.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, ia perkara “sangat biasa” untuk mengeluarkan larangan perjalanan terhadap individu disiasat kerana bekas pengarah eksekutif dan CEO PHEB, M Ramachandran turut disiasat.

“Kami terima aduan bahawa PHEB, ketika zaman Ramasamy dan Ramachandran, membayar lebih untuk pedati itu sedangkan mereka dibekalkan dengan bahan berkualiti sangat rendah tidak mengikut spesifikasi.

“Disebabkan ini berkaitan kepentingan awam, SPRM memutuskan untuk mula menyiasat mereka berdua.”

Sumber itu berkata, Jabatan Kimia akan memeriksa sama ada pedati itu mengandungi kuantiti emas yang sama seperti didakwa.

Ogos lalu, Bernama melaporkan Pengerusi PHEB semasa, RSN Rayer menyerahkan hasil penemuan audit forensik dalaman PHEB kepada SPRM. Rayer mendakwa audit itu menemui beberapa petanda amaran, tetapi tidak menjelaskannya.

Ia pedati bersalut emas, kata Ramasamy

Semalam, Ramasamy memberitahu FMT, beliau menafikan dakwaan itu dan ketua audit negara meneliti akaun PHEB.

Katanya, pedati itu yang dibeli pada 2019 dan kedua seumpamanya disalut emas, bukannya emas padu.

“Untuk kata ia diperbuat daripada bahan substandard adalah mengelirukan. Ia bersalut emas, yang secara semula jadinya melibatkan penggunaan logam lain.”

Kos pedati itu kira-kira RM800,000, menurut Ramasamy yang berkata projek berkenaan diberikan melalui tender terbuka membabitkan tiga kontraktor – dua dari India dan satu lagi tempatan.

Beliau berkata, selepas penilaian oleh lembaga PHEB, kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat dari India yang meminta bayaran tunai.

Katanya, kira-kira RM400,000 dibayar secara tunai kepada kontraktor itu, manakala baki digunakan untuk perbelanjaan projek lain seperti kos penghantaran bahan dari India.

Menurutnya, semua bayaran diluluskan lembaga PHEB dan dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan, khasnya ketua audit negara memandangkan lembaga itu di bawah bidang kuasa persekutuan.

“Kami ikut semua prosedur. PHEB diaudit setiap tahun oleh pejabat ketua audit negara dan laporan kami dibentangkan kepada Parlimen, bukannya Dewan Undangan Negeri.”

‘SPRM bergantung kepada dokumen tidak lengkap’

Ramasamy berkata, SPRM bergantung kepada dokumen tidak lengkap serta gagal memahami kerumitan bidang kuasa negeri dan persekutuan bertindih dalam PHEB.

Presiden Urimai itu juga mendakwa lawan politiknya mendalangi siasatan untuk mencemarkan nama baiknya.

“Dakwaan ini tidak berasas. Jika ada bukti jejak wang yang membawa kepada akaun bank saya, mereka perlu buktikan. Biar mereka siasat dengan teliti.

“Saya percaya ini adalah penganiayaan politik. Saya lantang dalam pembangkang dan larangan perjalanan sebahagian usaha terancang untuk mencemarkan nama baik saya.”

Ramasamy yang ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah secara sukarela semalam untuk memberi keterangan berkata, beliau ternampak Ramachandran berpakaian lokap SPRM.

“Saya tidak pasti ke mana mereka bawanya.”

FMT sudah menghubungi SPRM mengenai lokasi Ramachandran dan cuba menghubunginya untuk mengulas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan Ramasamy dan Ramachandran sedang disiasat, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.