
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri diketuai Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Ia antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah terbabit boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya, menurut Berita Harian.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu km dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir ketika itu, menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Baginda turut memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.
Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Baljit Singh Sidhu, bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Johan Shamsuddin Sabaruddin, pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Faridah Jalil.
Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zamri Misman sebagai setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia.
Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.
Beliau turut meminta peguam negara ketika itu, Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh, meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit.