PM akui berang isu kelewatan projek MyDigital ID, 5G

PM akui berang isu kelewatan projek MyDigital ID, 5G

Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan MyDigital ID lewat setahun manakala rangkaian 5G kedua pula masih tertangguh.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau meletakkan harapan tinggi dalam pelaksanaan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G yang berdepan isu kelewatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui berang dengan isu kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan dalam satu mesyuarat semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan MyDigital ID lewat setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata tindakan itu mengundang rasa terkejut di kalangan mereka yang hadir termasuk Jemaah Menteri.

“Ada hal rumit yang berbangkit yang menyebabkan saya kurang sabar dalam dua tahun ini. Saya melahirkan rasa kemarahan agak keras sedikit (semalam).

“Kadang-kadang harapan kita tinggi, maknanya MyDigital ID pelaksanaannya terlambat hampir setahun. Kemudian urusan rundingan DNB (Digital Nasional Berhad) dengan syarikat telco (telekomunikasi) juga tertangguh,” katanya berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya hari ini, menurut Berita Harian.

Anwar berkata beliau meluahkan kemarahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), semalam.

“Ingatan kita satu tahun dulu belum dijawab secara positif oleh kedua-dua pihak (DNB dan Telco), ini menyebabkan saya hilang kesabaran.

“Tapi saya harus ingat juga bahawa (saya) marah terutama yang hadir menunjukkan saya juga ada kekurangan sebagai orang biasa, ada harapan tinggi, yang menggunung. Jadi bila tak kesampaian, saya sampaikan (kemarahan itu).

“Teman-teman yang hadir itu agak terkejut dengan sikap saya. Sebab apa? Kita sudah lakukan sebaiknya,” katanya turut memohon maaf kepada pihak yang terkesan atas ketelanjuran sikapnya semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu semalam ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Baru-baru ini, Fahmi memaklumkan pihaknya sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapatkan pelan perancangan seterusnya daripada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) berhubung proses pelaksanaan rangkaian 5G kedua di negara ini.

Langkah itu menurut Fahmi adalah susulan agensi berkenaan memberi kebenaran kepada U Mobile untuk mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain (MNO).

Berkenaan MyDigital, Anwar sebelum ini mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.