
Muhammed Yusoff Rawther, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di depan Hakim Muhammad Jamil Hussin ketika kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Dis ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Yusoff memohon mahkamah menetapkan 13 Dis ini untuk sebutan kes kerana anak guamnya mempunyai satu lagi kes di bawah Akta Senjata di Mahkamah Majistret pada tarikh sama (13 Dis).
Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Pada 12 Nov lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes dadah dihadapi Yusoff ke Mahkamah Tinggi.
Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 305g dalam kenderaan dinaikinya di depan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi 6 Sept lepas, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan dekat sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi tarikh sama (6 Sept).
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.