Dagang guna mata wang selain dolar AS, kerajaan hati-hati buat keputusan, kata menteri

Dagang guna mata wang selain dolar AS, kerajaan hati-hati buat keputusan, kata menteri

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata pihaknya memantau rapat cadangan penggunaan mata wang baharu oleh BRICS.

westport
Kerajaan belum memutuskan pengunaan mata wang selain dolar AS dalam urusan perdagangan, menurut Tengku Zafrul Aziz.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan mata wang lain selain dolar AS dalam urusan perdagangan termasuk cadangan mata wang baharu oleh negara-negara BRICS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata ini kerana Amerika Syarikat adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, manakala BRICS satu platform semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu ekonomi serantau secara tidak mengikat.

“Adalah penting bagi Malaysia, yang masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi, untuk terus memantau secara rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara.

“Sebarang keputusan mengenai perkara ini hendaklah berlandaskan kepentingan negara serta selari dengan dasar-dasar semasa negara,” katanya menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

tengku zafrul
Tengku Zafrul Aziz.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan pendirian Malaysia selaku rakan kongsi BRICS susulan kenyataan Presiden terpilih AS Donald Trump mengancam mengenakan tarif 100% kepada negara BRICS jika menggantikan penggunaan dolar AS.

Malaysia diiktiraf sebagai antara 13 negara menjadi rakan kongsi BRICS, namun masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi.

Zafrul menjelaskan walaupun ‘de-dollarisation’ atau mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS pernah dibincangkan semasa sidang mesyuarat BRICS, namun setakat ini tiada cadangan rasmi telah dipersetujui.

Dalam hal ini, katanya, adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara-negara barat.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak dinafikan terdapat kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan AS terutamanya dalam rantaian bekalan semikonduktor yang mana syarikat-syarikat AS adalah pelabur utama di Malaysia.

“Sebarang langkah mengenakan tarif 100% akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.