Video rasuah tular: Adun Sabah beri keterangan kepada SPRM

Video rasuah tular: Adun Sabah beri keterangan kepada SPRM

Adun Kuamut Masiung Banah berkata, beliau turut berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman tersebut.

Masiung Banah
Adun Kuamut Masiung Banah berkata, beliau sedia dipanggil oleh SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Kuamut Masiung Banah telah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini susulan beberapa video tular membabitkan beliau dan beberapa Adun Sabah didakwa membincangkan rasuah untuk mendapatkan lesen berkaitan mineral.

Masiung berkata, video itu tidak menggambarkan ‘cerita sebenar’ kerana ia disunting untuk dilihat memihak kepada pihak yang merakamnya.

“Saya berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman tersebut untuk siasatan terperinci dan menyerahkan rakaman video sebenar perbualan berkenaan.

“Saya sedia dipanggil oleh SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan,” katanya dalam sebuah video.

SPRM kini sedang menyiasat dakwaan rasuah membabitkan lesen projek mineral di Sabah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang dikatakan berurusan dengan Adun Sabah.

Dakwaan itu tertumpu pada tindakan kerajaan Sabah yang dikatakan meluluskan lesen bagi syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu.

Dalam video-video yang diterbitkan di portal Malaysiakini itu, ahli perniagaan tersebut didengar bercakap mengenai dana yang diberikan kepada pegawai Sabah untuk mendapatkan lesen.

Ahli perniagaan itu dipercayai merakam video secara rahsia menuntut wangnya dipulangkan daripada Adun tertentu selepas kerajaan negeri didakwa menarik balik lesen berkenaan.

Malam tadi, Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun memberi kenyataan kepada SPRM selepas video membabitkan beliau diterbitkan.

Beliau menafikan sejumlah wang yang besar ditawarkan sebagai rasuah untuk menyokong permohonan mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah, sambil menambah dakwaan sedemikian ialah percubaan ‘pembunuhan karakter’ terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.