Tajuddin tolak pinangan PAS jadi calon PRU15 sebab sayang Umno

Tajuddin tolak pinangan PAS jadi calon PRU15 sebab sayang Umno

Tajuddin Abdul Rahman ditawarkan PAS untuk pertahan Parlimen Pasir Salak yang disandangnya selama tiga penggal bermula 2008.

Tajuddin Abdul Rahman ulang pendirian tidak akan bertanding di Parlimen Pasir Salak pada PRU16 dan merebut jawatan ketua Umno bahagian.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mendakwa menolak ‘pinangan’ PAS untuk mempertahankan kerusi terbabit pada PRU15 kerana masih sayang Umno walaupun digantung keahliannya ketika itu.

Digantung daripada Umno dua bulan sebelum PRU15 berlangsung pada 22 Nov 2022, Tajuddin yakin beliau pasti masih bergelar ‘Yang Berhormat’ jika menerima pelawaan itu seperti Shahidan Kassim di Arau serta Ismail Abd Muttalib di Maran.

Beliau mendakwa, PAS menawarkannya bertanding di kerusi disandangnya selama tiga penggal bermula 2008 itu sehingga sanggup melambatkan pengumumam Jamaludin Yahya sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

“Tapi saya hanya ucap terima kasih, sebab saya sudah 50 tahun dalam Umno, semua pahit manis sudah saya lalui…pernah dipecat pada 1995 akibat pergolakan politik dalam Umno ketika itu.

“Saya sayang Umno dan tidak adil untuk tinggalkan parti yang banyak berjasa kepada kita, ibaratnya bila senang setia dengan parti bila susah cabut (tinggalkan),” katanya dalam temubual FMT.

Pada PRU15, Barisan Nasional (BN) mencalonkan Khairul Azwan Harun yang kalah dengan majoriti 5,003 undi kepada Jamaludin.

Justeru, Tajuddin bersyukur apabila penggantungan keahliannya selama enam tahun sejak September 2022 ditarik balik oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 25 Nov lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh penggantungan beliau mula merayu dengan menghantar surat rayuan dan sanggup menunggu sehingga enam tahun bagi menyertai semula Umno.

Pada masa sama, Tajuddin turut berkhidmat seperti biasa kepada penduduk Pasir Salak dengan membuka pusat khidmatnya untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

“Puluh ribu ringgit juga saya keluarkan dalam seminggu, bukan nak mendabik dada atau bermegah-megah, tetapi kalau tak sebut orang tak tahu,” katanya.

Di sebalik inisiatifnya itu, Tajuddin mengulangi pendirian untuk tidak akan bertanding di Parlimen Pasir Salak pada PRU16 dan merebut jawatan ketua Umno di bahagian terbabit.

“Bagi mengelakkan spekulasi fitnah, saya awal-awal lagi buat kenyataan saya takkan bertanding ketua bahagian atau menawarkan diri jadi calon pilihan raya.

“Saya hanya nak lihat Umno kembali bangkit, kita terima sesiapa sahaja untuk tebus kekalahan lalu, tetapi jangan letak calon sembarangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.