‘Skandal Jabatan Air Sabah’, bekas pengarah, isteri diperintah bela diri

‘Skandal Jabatan Air Sabah’, bekas pengarah, isteri diperintah bela diri

Mahkamah Sesyen memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu dan seorang lagi tertuduh.

Ag Mohd Tahir Talib
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mengarahkan Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, isterinya dan seorang bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah membela diri atas 37 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.5 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mengarahkan bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut serta bekas timbalan pengarah, Lim Lam Beng membela diri atas 37 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.5 juta.

Hakim Abu Bakar Manat mengeluarkan perintah itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie diakhir kes pendakwaan, lapor Harian Metro.

Beliau menetapkan 26 hingga 28 Feb dan 28 hingga 30 April tahun depan sebagai tarikh perbicaraan semua tertuduh membela diri.

Tahir, 62; Fauziah, 59, dan Lim, 70, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta memiliki barang mewah secara haram antara Oktober dan November 2016.

Sepanjang kes itu yang juga dikenali sebagai ‘skandal Jabatan Air Sabah’ seramai 38 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Peguam Ansari Abdullah yang mewakili Tahir dan Fauziah berkata, pihaknya mungkin akan memanggil atau menemubual enam daripada saksi tersebut iaitu Pairin Kitingan, Raymond Tan, Teo Chek Ming, Felix Madan, Michael Emban, dan Peter Thien.

Pasangan itu turut diwakili peguam Priskila Akwila Sinem manakala Lim diwakili peguam Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.