Sembunyi ATM emas, pemandu lori mengaku tak salah

Sembunyi ATM emas, pemandu lori mengaku tak salah

Polis dilaporkan berkata ATM dilarikan itu tidak mengandungi jongkong emas kerana dikosongkan terlebih dahulu dan kerugian hanya membabitkan nilai mesin kira-kira RM60,000.

Gavel
Mahkamah Majistret Ampang membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bersama seorang penjamin. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas satu pertuduhan menyembunyikan mesin pengeluaran automatik (ATM) jongkong emas dua hari lalu.

Loh Kian Luck, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di depan Majistret Normaizan Rahim.

Dia didakwa sengaja menyembunyikan harta curi, iaitu sebuah ATM Public Gold milik Syarikat Public Gold yang dilaporkan hilang di Jalan BA/6 Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang pada 3 petang 2 Dis lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sinar Harian melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tetapi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Vinobha Doss merayu anak guamnya diberikan ikat jamin kadar minimum kerana menghidap asma dan perlu menyara keluarga, termasuk dua anak.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bersama seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes untuk serahan dokumen serta lantikan peguam pada 20 Feb depan.

Pada 1 Dis lalu, media melaporkan seorang remaja antara tiga ditahan kerana melarikan ATM emas di Taman Permata susulan siasatan berdasarkan laporan seorang pegawai mendakwa mesin itu ditarik keluar individu tidak dikenali pada 23 Nov lalu.

Polis dilaporkan berkata, ATM itu tidak mengandungi jongkong emas kerana dikosongkan terlebih dahulu dan kerugian hanya membabitkan nilai mesin kira-kira RM60,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.