
Ketuanya Sufian Abd Karim berkata sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan.
“Berdasarkan video-video yang tular, ada dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sudah memanggil lima Adun Sabah dan bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon yang disyaki terbabit dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Menurut agensi itu, siasatan awal berhubung aduan terbabit membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun Sabah.
Adun terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal.
Sebelum ini Hajiji berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiapkan siasatan.
Sehubungan itu, Sufian menggesa satu siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap SMM, selain hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri,” katanya.
Turut mendesak tindakan sama, Ketua Wanita Umno Sabah Noraini Idris.
Dalam kenyataan, Noraini berkata sebagai negeri kaya dengan hasil bumi, rakyat Sabah tidak boleh terus membiarkan kekayaan negeri dieksploitasi tanpa akauntabiliti.
“Wanita Umno mendesak ketua menteri meletakkan jawatan dengan segera agar memastikan pentadbiran negeri kekal telus dan berintegriti,” katanya.
Beliau juga mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan sumber asli negeri secara menyeluruh.