Najib dibenar hadir rayuan titah adendum tahanan rumah

Najib dibenar hadir rayuan titah adendum tahanan rumah

Mahkamah Rayuan membenarkan Najib Razak menghadiri prosiding pendengaran rayuannya berhubung kewujudan titah adendum yang berlangsung esok.

najib razak
Najib Razak mendakwa titah adendum yang dikatakan diperkenan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran rayuannya yang dijadualkan petang esok berhubung kewujudan titah adendum.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mariana Yahya, Hashim Hamzah dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin membenarkan permohonan ex-parte bekas perdana menteri itu untuk mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara bagi menghadiri perbicaraan itu.

Peguamnya Shafee Abdullah yang membuat permohonan itu menjelaskan rayuan itu melibatkan perkara berkaitan hukuman penjara anak guamnya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau berkomunikasi dengan peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi hari ini, yang memberitahu bahawa dia tidak membantah permohonan itu.

Shafee yang dibantu oleh Wan Mohammad Arfan Wan Othman, seterusnya memaklumkan mahkamah rayuan bahawa Collin Lawrence Sequerah, dan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan Najib berhubung kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tidak mempunyai bantahan terhadap hasrat bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadiri perbicaraan rayuan.

Najib kini memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang dijangka berterusan hingga minggu depan.

Rayuan esok adalah berkaitan cabaran Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung perintah tambahan.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi dan Naib Presiden Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan lepas.

Najib menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas perdana menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.