Kerugian pelaburan USD1 bilion salah pengurusan 1MDB, bukan saya, kata Najib

Kerugian pelaburan USD1 bilion salah pengurusan 1MDB, bukan saya, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata kesalahan itu terletak di bahu pengurusan 1MDB terutama bekas CEO, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

najib razak
Bekas perdana menteri itu Najib Razak berkata penjelasan bekas CEO, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengenai pemindahan wang USD1 bilion itu tidak masuk akal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan bahawa beliau bertanggungjawab bagi kerugian pelaburan USD1 bilion dalam usaha sama 1MDB dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, beliau berkata kesalahan itu terletak di bahu pengurusan 1MDB terutama bekas ketua pegawai eksekutifnya, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Kerugian USD1 bilion itu tidak boleh dikaitkan dengan saya atau sebarang arahan yang didakwa diberikan kepada lembaga pengarah (BOD) 1MDB bagi meluluskan resolusi untuk mengambil bahagian dalam usaha sama dengan PSI, atau sebarang kepentingan yang didakwa berniat jahat di pihak saya.

“Sebaliknya, tanggungjawab itu terletak di bahu pihak pengurusan terutama Shahrol,” kata Najib ketika membacakan pernyataan saksi beliau setebal 525 halaman.

Najib juga berkata Shahrol tidak pernah diberikan kuasa atau diarah untuk menjalinkan usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited yang secara langsung bertentangan dengan resolusi BOD pada 26 Sept 2009 dan seterusnya arahan yang didakwa daripada beliau sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat.

Beliau juga berkata ini adalah kali pertama fakta mengenai PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited dibangkitkan.

“Ia tidak pernah disebut dalam dokumen yang bentangkan kepada BOD atau disebut secara lisan pada pelbagai mesyuaratnya.

“Ini sepatutnya memberi amaran kepada Shahrol tetapi beliau lebih teruja untuk menandatangani perjanjian usaha sama itu dan lebih gembira untuk berpisah dengan wang sebanyak USD1 bilion.

“Mengenai alasan Shahrol bahawa beliau memudahkan pemindahan wang USD1 bilion itu kerana mendakwa beliau percaya bahawa arahan itu datangnya daripada saya, sesetengah pihak mungkin mengagumi keberanian beliau untuk membuat dakwaan seperti itu jika ia tidak begitu jelas bahawa perkara tersebut tidak masuk akal malah bercanggah dengan bukti yang didokumentasikan.
Bagaimanapun, jika perkara itu membabitkan saya maka ia nampaknya sengaja diabaikan,” katanya.

Najib juga berkata penjelasan Shahrol mengenai pemindahan wang USD1 bilion itu meskipun bertentangan dengan arahan BOD dan tidak masuk akal, telah dianggap boleh dipercayai bukan kerana meritnya tetapi kerana ia mempunyai agenda yang bermotifkan politik terhadap beliau.

“Meminta Shahrol bertanggungjawab sudah pasti akan mendedahkan kerapuhan naratif belliau dan merosakkan kredibilitinya. Sebaliknya, beliau dibenarkan bersembunyi di belakang alasan sedemikian dan pada dasarnya bebas daripada bertanggungjawab atas kerugian USD1 bilion itu supaya beliau boleh dianggap saksi yang boleh dipercayai, mungkin juga pada tahap saksi boleh dicontohi dalam kes salah guna kuasa terhadap ahli politik seperti saya.

“Bukankah beliau bernasib baik kerana saya adalah tertuduh? Jika saya bukan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, saya percaya beliau tidak akan berada di kandang saksi sebaliknya di kandang tertuduh,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada 30 Okt lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas semua 25 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Perbicaraan bersambung esok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.