
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, ia antara usaha bakal digerakkan di peringkat KKDW bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
“Saya mahu KKDW melalui setiap jabatan, agensi dan anak syarikat bersama mengambil inisiatif sesuai serta menggerakkan usaha bagi membantu mangsa banjir,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan KKDW serta sambutan hari inovasi dan kualiti di sini.
Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir akan dilancarkan bagi menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian kepada mangsa.
Beliau berkata, kerajaan kini memberi tumpuan sepenuhnya dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir buruk.
Sementara itu, Zahid berkata, kesiapsiagaan menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka bermula 8 hingga 14 Dis ini dilaksanakan semua agensi pelbagai peringkat supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Pahang dan Johor akan turut terlibat (banjir) dan kita harap jawatankuasa bencana negeri dan daerah bersiap siaga. Kesiapsiagaan perlu kita buat awal bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya yang menyifatkan banjir kali ini teruk berbanding 2014.
Jumlah mangsa di negeri terjejas banjir pagi ini merekodkan penurunan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi.
Kelantan, Pahang dan Johor merekodkan sedikit peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir, manakala Terengganu, Perak dan Kedah menurun, sementara Melaka kekal.