Contohi Jepun tangani bencana alam

Contohi Jepun tangani bencana alam

Persiapan negara matahari terbit itu merangkumi aspek pembangunan dan pendidikan, menurut ahli geologi Norazianti Asmawi.

Negeri di Pantai Timur Semenanjung setiap hujung tahun mengalami musim tengkujuh.
PETALING JAYA:
Malaysia harus mencontohi persediaan Jepun menghadapi bencana alam skala besar dalam mendepani musim tengkujuh saban tahun.

Jepun yang terletak dalam laluan siklon dan Lingkaran Api Pasifik menunjukkan ketahanan yang harus diteladani, menurut ahli geologi Norazianti Asmari, yang bernaung di bawah Lembaga Geologi Malaysia.

Menurut Norazianti, persiapan negara matahari terbit itu merangkumi aspek pembangunan dan pendidikan. Beliau terkandas di Jepun apabila Taufan Jebi melanda pada September 2018.

Norazianti Asmawi.

“Kita harus bekerja dengan alam semula jadi, bukan suruh alam semula jadi ikut kita,” katanya kepada FMT.

Taufan Jebi merupakan antara siklon terkuat yang pernah menimpa Jepun, mengakibatkan 14 kes kematian dan lebih 900 cedera di sebalik kerugian dianggar mencecah USD14 bilion.

Kira-kira lima taufan menimpa Jepun sejak 2020.

“Saya memang kagum di Jepun, kapal laut langgar jambatan tapi angka kematian dengan taufan sebesar itu peratusan dia sangat kurang,” katanya, yang juga pengarah urusan syarikat perunding kejuruteraan geologi, Geoxpert Sdn Bhd(GEX).

Taufan Jebi yang melanda Jepun dilaporkan terkuat dalam 25 tahun.

“Rakyatnya sudah bersedia, semua orang duduk rumah, jangan pergi mana-mana, semua orang ada sahaja di tempat selamat. Mereka juga dapat uruskan pelancong dengan baik, boleh hantar makanan, baju. Itulah persediaan yang kita perlukan.”

Norazianti berkata, Malaysia yang lebih bertuah berbanding Jepun dari segi kedudukan geografi harus ada kesedaran untuk mendepani bencana, termasuk lubang benam.

Katanya, Malaysia sepatutnya sudah memiliki data bentuk muka bumi dan mempunyai plan strategik untuk menghadapi apa sahaja bencana dan risiko geobahaya.

“Bukan negara kita sahaja sedang menunggu bencana negara lain pun sama, tapi kita harus tunggu dengan pengetahuan dan kesiapsiagaan,” katanya.

“Kenyataan ini menakutkan tetapi pada saya ia adalah amaran awal yang adil. Sekarang kita tak ada gerakan menyeluruh nak mendidik.”

Beberapa negeri di Semenanjung dilanda banjir termasuk Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Pada 1 Dis lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyifatkan keadaan banjir di seluruh negara lebih teruk berbanding 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.