Bekas tukang masak mengaku tak salah curi jam Rolex RM67,000

Bekas tukang masak mengaku tak salah curi jam Rolex RM67,000

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Safaruddin Bacho dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menghadapi pertuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang bekas tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri seutas jam tangan mewah jenama Rolex Oyster bernilai RM67,000 di sebuah kedai menjual barangan berjenama bulan lepas.

Safaruddin Bacho, 44, didakwa mencuri jam tangan di bawah jagaan pekerja wanita di kedai itu di Jalan SS 16/1, Subang Jaya di sini pada 10.40 pagi 23 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh didenda, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh dipenjara dan didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Shalehhuddin Salam merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan masih mencari pekerjaan.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan Safaruddin diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 14 Feb depan.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kedai menjual barangan berjenama mengalami kerugian dianggarkan RM64,000 selepas seutas jam tangan Rolex dicuri seorang lelaki menyamar pelanggan pada 23 Nov lalu.

Lelaki terbabit kemudian menjual jam tangan itu kepada sebuah kedai jual beli barangan berjenama di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.