3 pemimpin DAP menang saman fitnah Siti Mastura

3 pemimpin DAP menang saman fitnah Siti Mastura

Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin DAP tersebut.

TRIO 2
Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad susulan kenyataannya pada 4 Nov 2023 di Kemaman.
GEORGE TOWN:
Ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok berhubung ucapan beliau yang mengaitkan mereka dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin DAP tersebut, iaitu RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok.

Hakim Quay Chew Soon turut menetapkan faedah tahunan sebanyak 5% sekiranya Ahli Parlimen Kepala Batas itu gagal membuat pembayaran dalam tempoh ditetapkan.

Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang kepada ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut.

Quay memutuskan bahawa kenyataan Siti Mastura, yang dibuat dalam satu ucapan di Kemaman pada tahun 2023 dan disebarkan di media sosial, adalah berunsur fitnah dan tidak disokong oleh bukti.

Beliau berkata Siti Mastura bertindak dengan niat jahat, dan pembelaannya berdasarkan alasan komen adil tidak dapat diterima.

Kit Siang dan Guan Eng, yang juga pengerusi DAP memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu terhadap Siti Mastura kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Siti Mastura dalam pembelaannya berkata, fakta terbabit diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).

Bagaimanapun, Quay penghakimannya berkata kebergantungan terhadap sebuah buku yang didakwa diterbitkan oleh BN tidak boleh diterima kerana ia merupakan sebuah penerbitan ‘hantu’.

Katanya, pihak pembelaan juga gagal memanggil pihak yang didakwa sebagai penerbit buku tersebut untuk memberikan keterangan, menyebabkan buku itu hanya dianggap sebagai ‘dokumen khabar angin’.

Quay juga berkata, Siti Mastura sebagai Ahli Parlimen sama seperti Guan Eng dan Kok di Dewan Rakyat, sepatutnya mendapatkan penjelasan secara terus daripada mereka sebelum membuat kenyataan seperti itu.

Sementara itu, Peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Siti Mastura berkata, beliau akan meneliti penghakiman penuh sebelum menasihati anak guamnya sama ada mahu mengemukakan rayuan atau tidak.

Semua plaintif diwakili peguam Sankara Nair.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.