Zaharif adu sakit, mata berkelip sebelum tertutup, bapa beritahu mahkamah

Zaharif adu sakit, mata berkelip sebelum tertutup, bapa beritahu mahkamah

Muhd Zamrie Zainal Abidin berkata selain mengadu sakit kepadanya selepas dilanggar, anaknya juga sempat memberitahu tidak boleh melihat.

Mohd Nazri Abdul Razak
Mohd Nazri Abdul Razak yang juga deputi superintendan, 45, didakwa bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Abah sakit! Abah sakit!” kata bapa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes perbicaraan pegawai kanan polis membunuh anaknya, pada Disember lalu.

Muhd Zamrie Zainal Abidin, 56, berkata ketika tiba di tempat kejadian, dia melihat Zaharif terbaring di tepi persimpangan Jalan Taman Jati 1 dalam keadaan meronta-ronta kesakitan dan dikerumuni orang ramai.

Saksi pendakwaan ke-19 itu, berkata pada masa sama, anak perempuannya, Nur Zawanie, 29, yang juga jururawat di lokasi kejadian mengarahkan orang ramai memberi ruang dan tidak menyentuh Zaharif.

Menurut pesara tentera itu, dia melihat Zaharif mengalami kecederaan di bahagian siku berlubang, muka lebam, dan paha ada kesan seretan.

“Ketika di tempat kejadian, saya di sisi kanan Zaharif manakala Nur Zawanie berada di sisi kiri Zaharif. Saya menghampiri Zaharif dan menyatakan, ‘Ni abah ni…’ sambil melihatnya meronta-ronta kesakitan.

“Kemudiannya, saya mendengar Zaharif bercakap ‘Abah sakit! Abah sakit! Mata tak nampak’,” katanya menurut Harian Metro di hadapan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-11 prosiding.

Zamrie berkata, anaknya itu terus meronta-ronta sambil bangun duduk dan baring berulang kali walaupun Nur Zawanie memberitahu Zaharif supaya tidak berbuat kemudian.

“Selang beberapa minit kemudian, Zaharif tiba-tiba senyap dan matanya mula berkelip-kelip. Nur Zawanie meminta Zaharif supaya tidak tidur dan menunggu sekejap sementara ambulans datang.

“Saya nampak Nur Zawanie bertindak memeriksa nadinya dan ketika itu, saya dan seorang ustaz sekolah yang berada di tempat kejadian meminta Zaharif untuk mengucap dua kalimah syahadah.”

Bapa kepada empat anak, berkata dia kemudiannya melihat Zaharif mula merehatkan badan dan kaki Zaharif diluruskan sendiri, sambil matanya memandang ke atas sebelum tertutup.

Melihat perlakuan Zaharif, dia bangun dan melapangkan jalan untuk memberi laluan kepada ambulans, bagaimanapun pesara itu pengsan dan tumbang di tempat kejadian.

Sebaik tersedar daripada pengsan beberapa minit kemudian, menurut Zamrie, anak perempuannya memberitahu bahawa Zaharif sudah meninggal dunia.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela A Athimulan, saksi menegaskan ketika kejadian, ada guru wanita yang mengaku isteri kepada pemandu Ativa putih, memohon maaf atas sikap baran suaminya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak yang juga deputi superintendan, 45, didakwa membunuh Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.