Terus sokong Najib hanya lumpuhkan Umno, kata penganalisis

Terus sokong Najib hanya lumpuhkan Umno, kata penganalisis

Penganalisis politik Syaza Shukri berkata, kesilapan terbesar parti itu adalah keengganannya berhenti melindungi Najib.

najib razak umno
Wong Chin Huat berkata selagi Umno terus menyokong puak Najib, ia tidak mungkin dapat meraih semula sokongan pengundi Melayu atas berhaluan tengah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usaha Umno untuk kembali berkuasa dalam politik digagalkan akibat kesungguhannya mempertahankan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan cuba ‘menyelamatkannya’, menurut penganalisis politik.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kesilapan terbesar parti itu adalah keengganannya berhenti melindungi Najib.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Mereka sepatutnya mengiktiraf saja bahawa (kes) ini telah melalui mahkamah. Najib telah didapati bersalah, dan mereka patut membiarkannya di pihak kehakiman,” katanya kepada FMT.

“Menggambarkan Najib sebagai tidak bersalah dan cubaan ‘menyelamatkannya’ yang menjadi punca masalah.”

Bekas ahli Umno Shahril Hamdan sebelum ini dilaporkan berkata, keengganan parti itu mengiktiraf kegagalannya dalam menangani skandal 1MDB menyebabkan ia sukar ‘beralih daripada Najib, menyebabkan kemelut dalam hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan (BN) Johari Ghani baru-baru ini turut berkata, untuk kembali kuat dalam politik, gabungan itu yang meletakkan Umno sebagai tulang belakangnya, perlu membuang empat ‘penyakit’ yang membelenggunya.

Bercakap pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 pada 24 Nov lalu, beliau berkata BN mengalami khayal, pelupa, inertia dan sombong.

Johari berkata, pemimpin dan ahli parti komponen BN mempunyai penyakit khayal bahawa sumbangan lalu gabungan itu cukup untuk meyakinkan rakyat Malaysia supaya kembali menyokong mereka.

Katanya, gabungan itu telah lupa sebab BN diwujudkan dan apa tujuan perjuangan asal, iaitu untuk membangunkan Malaysia dan membawa kemajuan untuk rakyat.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Penganalisis politik Wong Chin Huat pula lebih tegas menilai kegagalan Umno berbanding Syaza.

Katanya, parti itu tidak boleh terus mendakwa kekalahan dialami dalam dua PRU disebabkan kempen kotor yang tidak adil oleh lawannya, atau mendakwa pengundi dimanipulasi pembohongan.

“Untuk memperbetulkan khayal dan pelupa ini, Umno mesti mengiktiraf perkara yang sudah terang lagi bersuluh: Umno kalah disebabkan 1MDB,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, skandal itu menyebabkan Umno hilang sokongan pengundi Melayu berhaluan tengah yang tidak dapat menerima rasuah keterlaluan seterusnya beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan PH.

“Selagi Umno enggan mengakui perkara ini dan terus menyokong puak Najib, ia tidak akan berjaya memenangi semula sokongan pengundi berhaluan tengah Melayu,” katanya.

Wong berkata, Umno mesti memutuskan hubungan dengan Najib, atau merayu supaya dia bersara daripada politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.