Wakil rakyat dedah murid belajar dalam kabin usang di Libaran

Wakil rakyat dedah murid belajar dalam kabin usang di Libaran

Suhaimi Nasir berkata kabin usang tidak kondusif untuk murid belajar malah merisikokan keselamatan ekoran masalah pendawaian elektrik.

daif Dilapidated
Seorang Ahli Parlimen membangkitkan isu sekolah masih daif di Sabah termasuk di Libaran yang kekurangan kemudahan asas. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
SK Tanjong Pisau dan SK Sungai Manila antara 16 sekolah daif di kawasan Parlimen Libaran masih menggunakan kabin usang sebagai bilik darjah.

Perkara itu didedahkan Suhaimi Nasir (BN-Libaran) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 bagi Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, kabin usang itu bukan sahaja tidak kondusif untuk murid mengikuti proses pembelajaran, malah berdepan risiko keselamatan ekoran masalah pendawaian elektrik yang kritikal.

Menurutnya, sekolah seperti SK Sakilan Desa dan SK Gum-Gum Kecil juga menghadapi masalah kemudahan asas seperti tandas dan bekalan air bersih.

“Saya memohon agar KPM dapat meneliti sekolah-sekolah tersebut serta menjadikannya sebagai senarai keutamaan negeri bagi 2025 dalam usaha mencapai sasaran sifar sekolah daif menjelang 2029,” katanya.

Pada Belanjawan 2025, KPM diperuntukkan RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan.

Dalam pada itu, Suhaimi turut mencadangkan kaedah pentaksiran berorientasikan peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan, namun subjek dinilai dikurangkan kepada bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan matematik.

“Kaedah pentaksiran semasa yang digunakan bagi menilai pelajar adalah kurang sesuai kerana tidak semua sekolah mempunyai sumber mencukupi untuk melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah dengan efektif, terutama di kawasan pedalaman Sabah.

“Guru-guru juga menghadapi beban tambahan dalam menyediakan pentaksiran berterusan, yang mungkin menjejaskan fokus pada pengajaran,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pembelajaran berasaskan ‘inquiry and exploration’ serta pentaksiran bagi perkembangan murid juga boleh dilaksanakan.

“Tetapi, ia hanya terpakai bagi subjek-subjek tertentu seperti sains serta pendidikan jasmani dan kesihatan. Oleh itu, penilaian terhadap penguasaan akademik serta perkembangan pelajar dapat dilaksanakan secara holistik.

“Dengan cara ini juga, KPM dapat mengurangkan tekanan kepada murid, seterusnya menggalakkan mereka ini seronok ke sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.