Nazmie Aizzat minta tolong, tak tahan kena pukul, kata saksi

Nazmie Aizzat minta tolong, tak tahan kena pukul, kata saksi

Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu mahkamah, bagaimanapun tertuduh kedua mengarahkan mangsa untuk diam.

gavel
Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Nazmie Aizzat di bilik asrama kolej itu antara 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac. (Gambar Reuters)
TAWAU:
Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, yang ditemukan mati di kolej itu, ada meminta tolong kerana kesakitan selepas dipukul di bilik asrama 5 Belian, pada malam 21 Mac lepas.

Saksi pendakwaan ke-13 yang juga rakan mangsa itu berkata Nazmie Aizzat, cuba meminta bantuan daripada pelajar lain di bilik itu, memaklumkan bahawa dia sudah tidak mampu bertahan akibat dipukul oleh tertuduh-tertuduh dalam kes itu.

“Kemudian terus tertuduh kedua cakap diam kau,” katanya saksi tersebut ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama-sama membunuh Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, saksi tersebut turut memberitahu bahawa sekitar 11 malam, dia yang berada di bilik asrama 5 Belian menyaksikan Nazmie Aizzat dikerumuni tertuduh pertama, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-11 serta ke-13.

“Tertuduh pertama serta ke-11 memukul mangsa, yang lain diam. Selepas lima hingga 10 minit, tertuduh kedua pula tiba,” kata saksi itu, yang menambah bahawa dia tidak melaporkan kejadian itu kerana dihalang oleh 13 tertuduh terbabit.

Saksi juga mengesahkan melihat tertuduh kedua menendang dan memijak belakang badan Nazmie Aizzat di bilik asrama 5 Belian.

Ng: Berapa kali tertuduh kedua tendang, pijak belakang Aizzat.

Saksi: Banyak kali.

Selain Ng, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif serta Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye; manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.