Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2025

Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2025

RUU diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 Nov lepas.

dewan rakyat
Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2025 pada peringkat dasar pada 12 Nov selepas dibahaskan selama 8 hari bermula 21 Okt dan melalui sesi penggulungan selama empat hari mulai 6 Nov. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Perkara itu diumumkan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mempengerusikan sementara sidang Dewan Rakyat malam ini.

RUU itu diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 Nov lepas bagi setiap kementerian terlibat.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2025 pada peringkat dasar pada 12 Nov selepas dibahaskan selama lapan hari bermula 21 Okt dan melalui sesi penggulungan selama empat hari mulai 6 Nov.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 18 Okt melibatkan peruntukan RM421 bilion, belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi Madani.

Belanjawan itu menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.