Kastam patah cubaan seludup perkakas elektrik RM1.2 juta

Kastam patah cubaan seludup perkakas elektrik RM1.2 juta

Jabatan Kastam menahan tujuh kontena mengandungi pelbagai barangan elektrik dipercayai tidak mendapat perakuan kelulusan Suruhanjaya Tenaga di Zon Bebas Pelabuhan Utara.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (kiri) menunjukkan pelbagai barangan elektrik lebih RM1.2 juta yang dirampas dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam menggagalkan cubaan menyeludup perkakas elektrik lebih RM1.2 juta di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata tujuh kontena ditahan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 9 hingga 30 Okt lalu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan elektrik dipercayai tidak mendapat perakuan kelulusan (COA) oleh ST.

“Kuantiti sitaan sebanyak 16,966 unit dengan nilai anggaran lebih RM1.2 juta, termasuk nilai duti dan cukai,” katanya menurut Sinar Harian di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di Klang.

Menurutnya barangan elektrik itu dipercayai untuk jualan dalam talian.

Norlela berkata pihak terbabit mengikrar barangan berkenaan sebagai LCD TV, komponen kipas meja serta lampu kecemasan bagi mengelakkan keperluan mendapat COA.

Tegasnya, pengimportan barangan elektrik dibenarkan tertakluk kepada perakuan kelulusan atau permit import dikeluarkan ST serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (Sirim).

Dalam kes berasingan, ganja seberat 448g dianggarkan bernilai RM13,555 yang diikrarkan barang hiasan perkahwinan dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah gudang syarikat perkhidmatan kurier di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 3 Okt lalu.

Norlela berkata, bungkusan itu dibawa masuk dari sebuah negara di benua Amerika dan penerima bungkusan sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan, kotak itu didapati berisi pelbagai bentuk dadah jenis ganja iaitu gel, bar coklat, gula-gula dan daun. Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, tujuh kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1 juta, termasuk cukai disita Jabatan Kastam hasil pemeriksaan ke atas 29 gudang berlesen di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mulai 7 hingga 30 Okt lalu.

“Kenderaan itu melibatkan Mercedes, Ferrari, Nissan GTR, Jaguar serta Toyota Alphard,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana menyimpan kenderaan melebihi tempoh simpanan ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.