‘Bukan cadangan bodoh tapi bantu peniaga sepi musim tengkujuh’

‘Bukan cadangan bodoh tapi bantu peniaga sepi musim tengkujuh’

Ahli Parlimen PN pertahan kenyataan exco Kelantan cadang jadikan musim tengkujuh produk pelancongan.

Sebelum ini Exco Kamarudin Md Nor dilaporkan berkata kerajaan Kelantan sedang mengkaji langkah mempromosikan kegiatan seperti luncur air dan makanan tradisi musim tengkujuh untuk menarik pelancong. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kenyataan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamarudin Md Nor mengenai cadangan menjadikan musim tengkujuh sebagai produk pelancongan.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, kenyataan Kamarudin semata-mata ingin membantu peniaga yang ‘sepi’ ketika musim tengkujuh.

Beliau juga menyelar tindakan Jimmy Puah (PH-Tebrau) yang sebelum itu menyifatkan kenyataan Kamarudin sebagai ‘bodoh’ dan tidak sensitif dengan musim banjir yang berlaku ketika ini.

Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, Jimmy cuba mengelirukan Dewan Rakyat kerana berpandangan kenyataan Kamarudin bukan khusus pada musim banjir.

“Apa masalah musim tengkujuh bukan banjir. Ini kelirukan Dewan,” katanya.

Halimah Ali (PN-Kapar) pula berkata, kenyataan Kamarudin dibuat pada dua minggu lalu bukan ketika musim banjir.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Suhaizan Kaiat meminta Jimmy menarik balik perkataan ‘bodoh’ dan meredakan kekecohan selepas beberapa Ahli Parlimen PN meminta beliau berbuat demikian.

Jimmy kemudian menarik balik perkataan itu dan menukarnya kepada ‘kurang cerdik’.

Pada 28 Nov lalu, Astro Awani melaporkan Kamarudin sebagai berkata, kerajaan Kelantan sedang mengkaji langkah mempromosikan kegiatan seperti luncur air dan makanan tradisi musim tengkujuh untuk menarik pelancong.

Kamarudin berkata, usaha itu dicadangkan memandangkan Kelantan ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong pada musim itu.

Pengguna media sosial terutama di X, kebanyakannya mengutuk cadangan itu, antaranya mengingatkan exco tersebut bahawa banyak nyawa terkorban akibat banjir.

Seorang pengguna X, @ZacZakirin13 menyifatkan kenyataan Kamarudin sebagai ‘bodoh’.

“Tak sensitif langsung, setiap tahun banjir, mesti kita akan terbaca (kisah) insan tidak berdosa meninggal dunia akibat banjir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.