Zahid arah jambatan Bailey dibina di 7 lokasi

Zahid arah jambatan Bailey dibina di 7 lokasi

Timbalan perdana menteri mahu gerak kerja pembinaan jambatan itu dilaksanakan dalam tempoh 48 jam.

Old Bailey Bridge
Kerangka jambatan Bailey dibina di Baling, Kedah pada 2022 selepas arus deras memusnahkan jambatan menyebabkan beberapa kampung terputus hubungan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengarahkan supaya gerak kerja bagi pembinaan jambatan Bailey dilaksanakan dalam tempoh 48 jam di kawasan yang terjejas akibat banjir.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata maklumat yang beliau perolehi setakat ini mendapati kira-kira tujuh lokasi dikenal pasti untuk jambatan Bailey di seluruh negara, lapor Bernama.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai stok yang mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di kawasan terjejas.

“Saya akan meminta kerjasama Kor Jurutera ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan juga JKR negeri serta daerah untuk membuat tindakan segera (gerak kerja jambatan Bailey) kerana terdapat keperluan (kepada) penduduk-penduduk untuk menghantar bantuan dan juga untuk proses menyelamat.

“Jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey itu dan Nadma mempunyai peruntukan yang mencukupi bersama-sama JKR dan juga ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) untuk membina semula jambatan-jambatan itu terutama jambatan kampung,” katanya.

Zahid berkata Jabatan Meteorologi telah memberikan data seminggu lebih awal sebelum luruan dan taburan hujan itu bertambah sebagai persediaan negara menghadapi bencana banjir antaranya supaya tindakan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan lebih awal.

“Saya nasihatkan kepada seluruh mangsa banjir supaya bersabar di kawasan PPS masing-masing dan sebagaimana saya nyatakan bahawa terdapat PPS yang telah berdaftar.

“Oleh kerana pertambahan mangsa banjir mendadak, saya telah mengarahkan jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah untuk membuka PPS baharu walaupun PPS itu tidak didaftarkan bagi menampung keperluan pemindahan itu,” katanya.

Jumlah mangsa banjir banjir di seluruh negara mencatat penurunan kepada 140,896 orang setakat 8 malam ini berbanding 148,024 orang pada 4 petang tadi dengan angka korban meningkat kepada enam orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.