
Gesaan itu menyusul pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa ujian lisan Bahasa Melayu SPM diteruskan mengikut jadual mulai esok hingga 5 Dis ini.
“Di luar sana, ibu bapa dan ramai calon mengeluh. Baru adakan sidang media khas sedangkan banjir dah beberapa hari, apakah kerajaan tidak ada perancangan?” soal Radzi yang juga naib presiden Bersatu.
“Ada satu pilihan lain, kalau perlu lihatlah jadual, buat sesi kedua untuk calon terlibat. Tak susah pun, cari satu tarikh adakan sesi kedua.
“Kalau kata nak angkut semua calon terlibat, senang kata tapi lihat keadaan di bawah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.
Terdahulu, Fadhlina dilaporkan berkata, calon SPM terjejas banjir akan dipindahkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan keselesaan serta mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual.
Katanya, proses pemindahan pelajar di Kedah dan Terengganu selesai sepenuhnya, manakala pemindahan calon SPM terjejas banjir di Kelantan akan diselesaikan hari ini.
Menurutnya, calon SPM dibenarkan berpakaian sesuai menduduki peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menguruskan semua kelengkapan diperlukan calon.
Setakat ini, jumlah calon SPM tertinggi di Kelantan seramai 3,111 pelajar, diikuti Terengganu (1,734) dan Kedah (532).