
Mohamad berkata, beliau akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga canselor UPM dan isu yang berbangkit susulan cadangan beliau mengembalikan nama asal, sambil menyatakan perkara itu tidak perlu lagi dipanjangkan.
“Saya mengambil maklum bahawa keputusan dibuat baginda Sultan Selangor dan canselor UPM adalah muktamad.
“Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu dilaporkan berkata, beliau akan membawa cadangan penukaran UPM kepada nama asalnya Universiti Pertanian Malaysia ke Jemaah Menteri selepas mengambil kira keutamaan negara kini memfokuskan isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian.
Namun, cadangan itu dibantah Sultan Sharafuddin dengan baginda menegaskan jenama Putra membawa maksud “Pertanian Untuk Rakyat”.
Titahnya, Universiti Putra Malaysia turut mengambil nama sempena perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.