
Zahid berkata, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, diterima semula keahlian pada Isnin selepas berdepan penggantungan enam tahun selepas menunjukkan dukungan kepada parti pada PRK Nenggiri dan Mahkota, selain hadir pada Perhimpunan Agung Umno.
“Saya tak nampak kenapa Majlis Tertinggi tak bersetuju dengan rayuan beliau (Tajuddin), jika ada ahli-ahli lain yang lakukan tindakan sama sebagaimana dibuktikan Tajuddin, saya tak nampak jika ahli-ahli Majlis Tertinggi juga tak boleh lakukan keputusan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab sama ada parti bersedia menerima semula Khairy dan Hishammuddin.
Beberapa bulan selepas PRU pada November 2022, Umno memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy dan menggantung keahlian Hishammuddin, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas exco Johor, Maulizan Bujang, dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif, selama enam tahun kerana melanggar disiplin parti.
Zahid bercakap kepada media selepas menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Bercakap pada perwakilan, Zahid juga mengingatkan komponen BN tidak perlu menunggu dana sampai sebelum menggerakkan jentera.
“Masa PRU14, kita sangat mewah, adakah dapat bentuk kerajaan? Duit bukan segala-galanya walaupun segalanya memerlukan duit.
“Tanya PKR, tanya Amanah, lebih miskin lagi sehingga sekarang. Duit bukan keutamaan. Jangan guna alasan duit untuk tak bekerja.”
Zahid turut berkata, beliau tidak berminat dengan cadangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencadangkan sebuah badan memayungi NGO dalam usaha memperjuangkan kepentingan kaum Melayu Bumiputera.
“Saya tak mau campur tentang mana-mana pemimpin yang gila talak,” katanya merujuk cadangan Muhyiddin.