
Tolak ansur kerajaan pimpinannya mencetuskan pergeseran dengan “ultra” Melayu – gelaran diberikan kepada ahli Umno yang dianggap nasionalis tulen kerana lantang mempertahankan kedudukan orang Melayu.
Dalam kalangan “ultra” adalah Mahathir Mohamad, kemudian menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, dan Syed Jaafar Albar, lebih dikenali sebagai “singa Umno”, selain Musa Hitam.
Pendekatan lebih inklusif Tunku selepas Malaya mencapai kemerdekaan adalah berbeza dengan pandangan beliau sebelum 1957, menurut buku “Idealis: Syed Hamid Albar”, biografi anak kepada Syed Jaafar, Syed Hamid Albar.

Ketika Parti Perikatan dibentuk pada 1952, Tunku Abdul Rahman percaya Persekutuan Tanah Melayu adalah untuk orang Melayu dan ia tidak perlu diperintah oleh kumpulan pelbagai kaum.
Orang Melayu juga mesti melindungi hak mereka, katanya dipetik.
Namun, perspektif Tunku berubah selepas kemerdekaan, dan beliau menolak tanggapan Persekutuan Tanah Melayu hanya milik orang Melayu.
Buku itu dipetik sebagai berkata, Tunku menghargai sumbangan Syed Jaafar kepada parti, meskipun pandangan mereka saling bertentangan terhadap hak orang Melayu.
Malah, Syed Jaafar diberi penghormatan dengan anugerah “Songkok Merdeka” kerana peranannya membantu Perikatan memenangi Pilihan Raya Persekutuan pada 1955, yang pertama dalam sejarah Persekutuan Tanah Melayu.
“Tunku juga menyokong Syed Jaafar ketika beliau menentang Lee Kuan Yew (kemudian menjadi perdana menteri Singapura pertama),” menurut buku itu.
Syed Jaafar muncul pengkritik tegar Lee, apabila mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu. Lee pula berpandangan ancaman kepada perpaduan kaum di ialah komunalisme (perkauman) dan dominasi Melayu.
Menurut buku berkenaan, Lee yang pertama kali menggelarkan “ultra” kepada ahli Umno yang radikal mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Islam.
Buku itu, tulisan Noor Hasilah Islam dan Firdaus Zainal, diterbitkan Gerakbudaya. Ia dilancarkan oleh Mahathir dan tersedia dalam talian di Gerakbudaya dan Ilhambooks.