RM1,000 bantuan wang ehsan diagih kepada mangsa banjir

RM1,000 bantuan wang ehsan diagih kepada mangsa banjir

Timbalan Perdana Menteri Zahid Haimidi berkata bantuan itu diagihkan bermula semalam kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi (kanan) menyantuni mangsa banjir semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara SK Nibong di Kuala Berang, Terengganu. (Bernama pic)
KUALA BERANG:
Kerajaan persekutuan mengagihkan bantuan wang ihsan RM1,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara bermula semalam, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata bantuan diagihkan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu, akan diagihkan secara berfasa.

“Saya harap pengagihan bantuan terutama bantuan tunai ini akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya dan kita tidak mahu ada dalam kalangan ketua isi rumah yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat ditentukan Nadma yang tidak mendapat bantuan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS SMK Matang.

Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan persekutuan juga meminta kerajaan negeri yang mengalami banjir, untuk turut mengusahakan bantuan dan dana kecemasan kepada ketua isi rumah atau mangsa yang mengalami kerugian besar, seperti kerosakan rumah dan peralatan rumah.

“Tentunya kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang sangat baik sekarang ini harus dipertingkatkan dan kita mesti mencari jalan meringankan beban mangsa yang dipindahkan dan rumah yang mengalami kerosakan,” katanya.

Zahid juga memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk mengagihkan bantuan wang ihsan tersebut kepada ketua isi rumah terkesan di seluruh negara, yang kini telah melebihi 30,000 ketua isi rumah.

Malah, katanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan akan menambah peruntukan untuk bantuan tunai itu, sekiranya jumlah ketua isi rumah melebihi peruntukan yang disediakan.

Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di seluruh negara atau satu PPKB di setiap negeri, bagi keselesaan dan kemudahan mangsa banjir.

“Untuk Hulu Terengganu kita telah dapat permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua. Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.

“Peruntukan pun ada dan perdana menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada Nadma bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta, iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.