Penduduk gesa dedah penjajaran baharu PJD Link, susulan pendedahan telah lulus

Penduduk gesa dedah penjajaran baharu PJD Link, susulan pendedahan telah lulus

Pengerusi Penduduk Membantah PJD Link kata mereka hanya tahu cadangan jajaran baharu itu dapat kelulusan agensi persekutuan melalui media.

PJD Link
ScRAP mahu maklumat lengkap penjajaran baharu PJD Link, kos pelaksanaan projek dan pengambilan tanah, serta unjuran pendapatan daripada konsesi.
PETALING JAYA:
Kumpulan penduduk mahu kerajaan dan pemaju mendedahkan pelan penjajaran baharu yang telah diluluskan bagi projek lebuh raya bertingkat penyuraian trafik Petaling Jaya (PJD Link) untuk diteliti.

Pengerusi Penduduk Membantah PJD Link (ScRAP), David Yoong, kata mereka hanya tahu cadangan jajaran baharu itu dapat kelulusan agensi persekutuan melalui media.

Menurutnya, kelulusan itu tidak dibincangkan dengan wakil penduduk.

“Kami semua mahu maklumat lengkap penjajaran baharu yang diluluskan kepada pemaju itu untuk kami lihat dan teliti, apa penambahan untuk jajaran baharu itu.

“Kami minta supaya kerajaan serta pihak terlibat telus berhubung kos pelaksanaan projek, terutama kos pengambilan tanah dan unjuran pendapatan daripada konsesi,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan para wakil penduduk.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mendedahkan agensi persekutuan telah meluluskan pelan jajaran baharu bagi cadangan pembinaan PJD Link daripada pemaju, pada sidang media di Parlimen 28 Nov lalu.

Menurutnya, pihak beliau dimaklumkan berhubung perkara itu dalam sesi taklimat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan, dan Komunikasi, hari itu.

Tahun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri membuat keputusan membatalkan projek PJD Link selepas pemaju menghantar laporan penilaian impak, terutama laporan penilaian impak sosial, yang didapati tidak memuaskan dan tidak menepati syarat tertentu ditetapkan kerajaan negeri.

Pada April 17, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Putrajaya memutuskan membatal projek tersebut selepas pihak konsesi gagal menepati enam daripada 11 syarat ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan, yang menghadiri pertemuan wakil penduduk itu mengulangi pendirian bahawa penambahan lebuh raya tidak akan selesaikan masalah kesesakan bagi tempoh jangka masa panjang.

“Untuk selesaikan isu berbangkit ialah hanya dengan memperkasakan pengangkutan awam, dengan menghubungkannya ke seluruh Lembah Klang dari utara ke selatan dan dari timur ke barat.

“Selain itu, antara penyelesaian lain, kerajaan perlu mengubah sistem tol negara sebagaimana Singapura,” katanya, merujuk kepada sistem tol tanpa tunai di republik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.