
Naimah Khalid menyatakan kekecewaannya terhadap kenyataan SPRM bahawa siasatan terhadap kewangan dan aset Daim masih berjalan, termasuk menyiasat ‘jejak wang’ di luar negara, mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
“Jejak wang apa? Untuk menyiasat ‘jejak wang’, perlu ada kesalahan rasuah dilakukan terlebih dahulu.
“Jika tiada kesalahan, maka sesuatu aset adalah dikira sah dan hasil usaha keras sama ada di Malaysia atau di tempat lain,” katanya dalam kenyataan.
Naimah turut menggesa kerajaan dan SPRM menghentikan ‘cerita tidak berasas’ mengenai ‘kecurian berbilion’.
Beliau juga berkata mahkamah baru-baru ini telah membebaskan Daim daripada tuduhan. “Apakah kerajaan tidak menghormati keputusan mahkamah?”
Pada 20 Nov lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Daim daripada tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta, susulan kematian beliau. Dalam kes ini, bekas menteri kewangan itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM dan beliau mengaku tidak bersalah.
Pada 22 Nov lalu, SPRM berkata siasatan berkait pengubahan wang haram, yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram masih diteruskan.
Pada Feb 2023, SPRM membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat dalam Kertas Pandora.
Siasatan ke atas maklumat dalam pendedahan itu, membawa kepada siasatan terhadap Daim ketika beliau menjadi menteri kewangan.