Lelaki ditahan jual jam Rolex dicuri

Lelaki ditahan jual jam Rolex dicuri

Polis berkata suspek sebelum ini dilaporkan menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri jam tangan itu di sebuah premis menjual barangan berjenama di SS16 Subang Jaya.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau, tetapi tidak dikehendaki polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur semalam kerana disyaki menjual semula jam tangan Rolex dicurinya minggu lalu.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata suspek sebelum ini dilaporkan menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri jam tangan itu di sebuah premis menjual barangan berjenama di SS16 Subang Jaya.

“Siasatan dijalankan selepas laporan dibuat berkaitan kehilangan jam tangan berkenaan oleh pekerja premis terbabit.

“Suspek ditahan kira-kira 4.15 petang Jumaat serta didapati ingin menjual jam itu di sebuah kedai barangan berjenama dengan harga RM25,000,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau, tetapi tidak dikehendaki polis.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kedai menjual barangan berjenama kerugian RM64,000 selepas seutas jam tangan Rolex dicuri seorang lelaki pada 23 Nov lalu.

Polis dilaporkan berkata, pekerja wanita memaklumkan didatangi seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan ketika dia bersama rakan sedang membuka kedai pada 10.40 pagi, sebelum suspek mencuri jam tangan ketika dia bercakap di telefon dan terus melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.