Adun Bersatu yakin PN mampu rampas Pahang pada PRU16

Adun Bersatu yakin PN mampu rampas Pahang pada PRU16

Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin berkata PN hanya perlu memenangi enam lagi kerusi untuk merampas negeri itu dari BN.

Ketua Bahagian Rompin, Abdul Khalib Abdullah dalam ucapannya turut mencadangkan seluruh bahagian dan jawatankuasa Bersatu mula mengutip dana kerana akaun parti itu masih disita SPRM.
SHAH ALAM:
Perikatan Nasional (PN) mampu merampas Pahang jika gabungan pembangkang itu menang enam lagi kerusi dan mempertahankan kerusi sedia ada pada PRU16 nanti, kata Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin.

Ketika ini PN mempunyai 17 kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi di DUN Pahang dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.

“Untuk PN menang sangat cerah dan diberikan kepercayaan (pada Bersatu) sebab Bersatu atau PAS tidak boleh bertanding keseorangan.

“PN merupakan alternatif kepada BN di Pahang, jadi saya yakin PRU16 PN akan dapat lebih kerusi,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya kepimpinan pusat bersedia dari awal terutamanya memperkukuh strategi berkaitan pemilihan calon.

Sementara itu Ketua Bahagian Rompin, Abdul Khalib Abdullah ketika berucap pada perhimpunan hari ini mencadangkan seluruh bahagian dan jawatankuasa mula mengutip dana kerana akaun parti masih disita.

“Hari ini kita memulakan (kutip sumbangan) tetapi parti lain sebenarnya sudah mula. Saya nak nyatakan ia adalah satu langkah pembaharuan yang perlu dibuat parti.

“Saya nak minta ketua-ketua bahagian bincang dengan ahli jawatankuasa bahagian kita lakukan perkara sama. Parti kita ini bukan tiada duit, duit bukan dibeku tetapi disita,” katanya.

Tabung sumbangan itu mula diedarkan kepada perwakilan sejak semalam dan Khalib menyifatkan usaha itu ‘sebagai satu langkah pembaharuan’.

Tahun lalu, dua akaun parti itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla).

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.