Penduduk Kota Bharu berkumpul di Tambatan D’Raja pantau Sg Kelantan

Penduduk Kota Bharu berkumpul di Tambatan D’Raja pantau Sg Kelantan

Hujan berterusan dan air kencang tidak menghalang orang ramai berkumpul sambil merakam video dan membuat hantaran di media sosial.

Menurut portal JPS setakat 8 pagi ini, air Sungai Kelantan mencapai paras bahaya di Tambatan D’Raja, iaitu setinggi 5.58m. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Bimbang air sungai melimpah dan menyebabkan pusat bandar lumpuh, penduduk Kota Bharu sanggup bersengkang mata memantau paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja.

Mereka berkumpul di satu lokasi tarikan pelancong itu, yang menghadap Sungai Kelantan, sejak beberapa hari lepas sambil merakam video dan membuat hantaran di media sosial.

Nasrol Rosli, 25, berkata sudah tiga malam beliau berada di kawasan berkenaan bagi memantau paras air sungai dan berkemungkinan terus berbuat demikian setiap malam sehingga cuaca kembali seperti biasa.

“Sudah beberapa hari hujan menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir. Saya dan beberapa rakan datang ke sini setiap malam bagi membuat pemantauan hingga pagi serta akan memberi makluman kepada pihak berkuasa jika keadaan semakin buruk.

“Rumah saya terletak di Kampung Cina tidak dinaiki air, namun saya cuba untuk berada di sini setiap hari bagi mengetahui paras air sungai ini,” katanya.

Mahriz Afandi, 36, berkata meskipun terdapat stesen Angkatan Pertahanan Awam memantau paras air di Tambatan D’raja, beliau tetap berada di situ kerana ingin melihat sendiri situasi banjir.

“Kawasan rumah saya di Pasir Tumbuh sudah dinaiki air tetapi rumah saya masih selamat. Saya akan terus berada di sini kerana tidak bekerja pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama pagi ini mendapati hujan masih berterusan dan orang ramai tetap berkunjung ke Tambatan D’Raja walaupun banjir sudah mencapai ketinggian kira-kira 0.5m.

Angin kencang turut tidak menghalang orang ramai datang sendiri untuk melihat situasi terkini.

Menurut portal Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) setakat 8 pagi ini, air Sungai Kelantan mencapai paras bahaya di Tambatan D’Raja iaitu setinggi 5.58m.

Pada Rabu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga hari ini di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.