
CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Natasha Sim juga menafikan dakwaan bahawa beliau mengelirukan lembaga pengarah dengan meminda minit mesyuarat, seperti yang didakwa dalam suatu laporan polis yang dibuat di Sabah, petang tadi.
“Berdasarkan maklumat tidak sah yang tersebar, saya dengan tegas menafikan semua dakwaan salah laku terhadap saya.”
“Dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan berniat jahat ini nampaknya suatu percubaan sengaja dengan tujuan untuk merosakkan karakter dan nama baik saya,” katanya kepada FMT.
Menurut laporan polis itu, Sim dan suaminya didakwa menaiki jet peribadi yang turut melibatkan seorang pedagang kayu-kayan dan dua anak peniaga itu.
Sim berkata beliau sedia disiasat berhubung perkara ini, serta berikrar akan beri kerjasama penuh.
FMT difahamkan bahawa Sim mempunyai dokumen untuk menafikan dakwaan-dakwaan itu. Difahamkan juga tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebar dan menerbitkan dakwaan-dakwaan tersebut.
Awal bulan ini, SMM menuduh bekas CEOnya, Jontih Enggihon, melanggar kewajipan fidusiari dan melakukan fraud dan salah laku.
Laporan dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuduh Jontih berpakat dengan individu yang dikatakan seorang pemberi maklumat di sebalik video dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Adun Sabah.
Sim berkata salah laku yang didakwa dilakukan oleh Jontih itu terbongkar susulan siasatan dalaman menyeluruh ke atas hal ehwalnya semasa memegang jawatan itu.
Jontih menafikan dakwaan-dakwaan itu dan berkata dakwaan mengatakan beliau bertindak sebagai orang tengah adalah suatu ‘pembohongan’.
SPRM setakat ini memanggil lima Adun untuk diambil keterangan.