
Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mendakwa, berdasarkan maklumat diterimanya sukarelawan tidak menerima elaun ‘walau satu sen’ selepas bergadai masa dan nyawa membantu mangsa banjir.
“Saya dimaklum tak ada sebarang elaun diberikan kepada sukarelawan yang bertugas di PPS terdiri orang awam yang mana mereka kerja kadang-kadang seminggu, sebulan, mengurus ribuan mangsa terlibat, tetapi tidak ada satu sen elaun diberi berbanding ATM (Angkatan Tentera), Rela di mana mereka diberi sedikit elaun.
“Saya harap elaun sukarelawan di setiap PPS seluruh negara hendaklah diberi keutamaan dan perhatian,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu juga meminta kerajaan menambah jumlah pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk kemudahan logistik ketika musim banjir.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana perancangan kementerian berkenaan memastikan keperluan mangsa banjir diberi perhatian.