
Pengakuan Adly Zulfadhly Zulkefly, 29, itu direkodkan di depan Majistret MS Arunjothy.
Tertuduh didakwa menyerahkan perintah bertarikh 3 Ogos 2023 yang diketahuinya palsu kepada seorang ibu tunggal 36 tahun di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini sekitar Ogos tahun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, peguam Azlina Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Adly sendiri turut merayu jaminan kurang daripada RM5,000 kerana keluarganya hanya mampu membayar jumlah itu, selain mengambil kira dirinya peguam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’ Asnita Zaina’ Larifin membantah jaminan rendah kerana tertuduh bukan lagi peguam.
“Di hadapan saya terdapat pengesahan Majlis Peguam mengatakan sijil amalan tertuduh hanya sah pada 2023 dan Februari 2023 kali terakhir tertuduh beramal sebagai peguam.”
Tertuduh kekal mendakwa dirinya masih peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Feb depan sebutan semula kes.