
Pengerusi Jawatankuasanya Sugumaran S Muniandy yang mewakili penduduk menyerahkan memorandum itu kepada Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah.
Antaranya tuntutan dikemukakan termasuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat di lot kosong, penyediaan bas awam melalui pangsapuri dan kerajaan mengambil alih kos penyelenggaraan flat-flat kos rendah sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU15.
Selain itu, pembekuan tindakan tribunal diambil terhadap penduduk yang berhutang tanpa perincian bil tunggakan caj penyelenggaraan oleh ejen penyelenggaraan.
Sugumaran berkata, satu mesyuarat telah diadakan antara Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon pada 30 April lalu, namun beliau mendakwa ‘syarat’ dikemukakan terbukti sifat tidak ikhlas dalam membantu penduduk.
“Beliau (Zahri) bagitahu memang tidak puas hati dengan tindakan protes kami sebelum ini dan meminta saya mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan baik yang dilakukannya memandangkan telah menunai janji untuk berbincang.
“Bagaimana saya nak bagitahu tanpa fakta dan bukti? Belum buat apa-apa lagi,” katanya sambil menambah tiada tindakan lanjut ataupun perkembangan daripada pihak MBPJ setelah perjumpaan itu diadakan.
April lalu, beberapa orang penduduk pangsapuri berkenaan dilaporkan mengadakan aksi protes di hadapan MBPJ untuk menyerahkan memorandum kepada Zahri dengan menuntut MBPJ mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa tersebut dan menanggung kosnya.
Selain dihimpit isu terbabit, penduduk mendakwa, syarikat pemaju rumah tidak menyediakan kemudahan asas seperti pendawaian bumi, peti surat, pili bomba dan tempat letak kenderaan.
FMT telah menghubungi Zahri untuk mendapat maklum balas daripada MBPJ.