Ananda Krishnan meninggal dunia

Ananda Krishnan meninggal dunia

T Ananda Krishnan, 86, adalah pengasas Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

Ananda Krishnan-fbpic-100724
Forbes menyenaraikan T Ananda Krishnan sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bilionair T Ananda Krishnan meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang diterajui Ananda, mengesahkan pemergian beliau hari ini.

“Dengan rasa sedih, kami mengumumkan pemergian pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia dengan tenang pada 28 Nov.

“Beliau memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara dan dunia korporat, serta inisiatif kebajikannya telah menyentuh banyak kehidupan. Kami dengan rendah hati memohon agar permintaan keluarga untuk berkabung secara peribadi dihormati,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pada April, Forbes menyenaraikan Ananda sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia, selepas taikun hotel dan hartanah Robert Kuok serta Quek Leng Chan dari Hong Leong, dengan nilai kekayaan bersih sebanyak USD5.1 bilion.

Alumni Sekolah Perniagaan Harvard itu mengasaskan pengendali telekomunikasi mudah alih kedua terbesar Malaysia, Maxis Bhd, serta syarikat penyiaran dan media, Astro Malaysia Holdings Bhd.

Beliau juga memiliki pegangan besar dalam penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd, melalui Objektif Bersatu Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.