
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata, sekolah terlibat termasuk SMK Syed Hussein; SK Tengku Budriah; SJKC Hwa Aik, dan SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah di Kangar.
SMK Dato Sheikh Ahmad, SK Arau dan SK Guar Nangka di Arau, serta SK Titi Tinggi di Padang Besar turut terkesan.
“Semua sekolah tersebut memohon untuk pulang awal hari ini, dan esok semua pelajar akan mengikuti pembelajaran secara PdPR,” katanya, lapor Bernama.
“Pihak sekolah juga diarah untuk memastikan pelajar terus dapat mengakses bahan pembelajaran melalui platform PdPR yang disediakan.”
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan, 305 mangsa banjir ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Arau dan Padang Besar setakat 12 tengah hari tadi.
Seramai 71 orang dan 104 orang ditempatkan masing-masing di SK Guar Nangka dan SK Arau, manakala seramai 130 orang lagi di PPS SK Titi Tinggi, katanya.