
Ia membabitkan 11 klinik kesihatan di Pasir Mas, Machang (2), Tanah Merah (2) dan masing-masing sebuah di Kota Bharu, Pasir Puteh serta Tumpat.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata klinik ditutup paling awal terletak di Tendong, Pasir Mas dan terbaharu di Kok Lanas semalam.
“Semua klinik kesihatan ini ditutup sementara disebabkan laluan fasiliti itu dinaiki air akibat banjir dan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pesakit,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau menjangkakan ada lagi klinik kesihatan bakal ditutup kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan hingga esok yang mungkin menyebabkan banjir.
Zaini menasihatkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan berdekatan sehingga situasi kembali pulih.
Katanya, pesakit kronik dan memerlukan rawatan susulan sudah dikenal pasti lebih awal sebelum dirujuk ke hospital.
“Contohnya, ibu mengandung atau sudah menghampiri tarikh bersalin dan pesakit menjalani rawatan hemodialisis, memang kita sudah kenal pasti lebih awal dan dibawa ke hospital.
“Di pusat pemindahan sementara juga ada menyediakan perkhidmatan rawatan.”