
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, sasaran BN untuk bertanding kerusi di Wilayah Persekutuan semata-mata satu impian yang menurutnya ‘tidak mungkin dipandang serius oleh sesiapa’.
“Tidak mungkin PKR atau DAP akan memberi kerusi mereka (di KL) kepada Umno, semata-mata kerana ini kawasan kuat mereka, iaitu kawasan bandar.
“Tidak mungkin mereka menyerah kepada Umno. Umno hanya ada untuk berjuang di kerusi majoriti Melayu di luar bandar. Mereka tidak boleh menuntut kerusi di kawasan bandar,” katanya kepada FMT.
Chin berkata, satu lagi faktor yang akan menghalang komponen Pakatan Harapan (PH) daripada memberi laluan untuk BN adalah ketakpastian sama ada BN mampu menang di kawasan berkenaan dalam pilihan raya.
“Kawasan bandar kebanyakannya kubu kuat PH, jadi tiada sebab untuk memberikan kerusi kepada mereka,” katanya.
Pada Ahad, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan harapan bahawa gabungan itu dapat memperluas kedudukannya di wilayah persekutuan dengan bertanding lima kerusi parlimen dalam PRU akan datang.
Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Labuan dan Putrajaya dalam PRU lalu, manakala Naib Presiden Umno Johari Ghani menang kerusi tunggal BN di Wilayah Persekutuan, iaitu di Titiwangsa. Sepuluh lagi kerusi Wilayah Persekutuan di KL dipegang PKR dan DAP selama beberapa penggal.
PKR memegang kerusi Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, dan Bandar Tun Razak, manakala DAP pula di Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, dan Cheras.
Beberapa nama besar PKR dan DAP memegang kerusi berkenaan, antaranya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (Segambut), dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).
Veteran lain termasuk bekas Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), penasihat DAP Tan Kok Wai (Cheras), Naib Presiden DAP Teresa Kok (Seputeh), Bendahari DAP Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kenyataan Zahid itu menunjukkan keinginan BN untuk mengukuhkan kedudukannya di kerusi bandar.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa PKR dan DAP mungkin bersetuju memberikan dua kerusi kepada BN, jika BN memberi kerusi lain kepada PH.
“Ini akan memerlukan kedua-dua pihak mencapai kompromi ketika perbincangan dalaman,” katanya.
Menurutnya, sasaran lima kerusi BN realistik memandangkan Umno juga pernah kuat di kawasan bandar.
“Memfokuskan terhadap kawasan bandar juga akan menggambarkan usaha BN untuk mendekati pengundi bandar dan memahami keperluan mereka, seiring dengan aspirasi kerajaan perpaduan untuk memastikan kestabilan politik dan pembangunan negara,” katanya.